Era milenium menyaksiakan cabaran yang bersifat sejagat yang merentasi
sempadan geografi mahupun sosiologi. Negara menghadapi cabaran baru kesan
daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan pesat
dalam bidang sains dan teknologi. Oleh
itu pendidikan memerlukan transformasi dan penyesuaian dengan perubahan semasa.
Pendidikan dalam era milenium perlu bercirikan unsur global dan pada masa yang
sama tanpa meninggalkan yang asal yang bersifat lokal.
Pendidikan perlu mampu melahirkan
warganegara Malaysia yang berupaya merancang masa depan mereka, mampu
menghadapi cabaran baru, berupaya membuat pilihan dengan masa depan mereka,
berupaya membuat pilihan dengan bijak,tepat dan sesuai dengan cabaran semasa
yang akan dihadapi. Sehubungan itu pendidikan perlu dikaitkan dengan senario
semasa dan masa hadapan yang dapat dilihat daripada aliran pembangunan dan
kemajuan teknologi semasa khususnya ICT. Perancangan pendidikan umumnya perlu
bersifat futuristik, fleksibel,dan dinamik supaya dapat menentukan corak
masyarakat profil bangsa dan warganegara Malaysia yang diharapkan.
Pendidikan di Malaysia kini berada dalam keadaan yang lebih mantap
berbanding sebelumnya. Perkara ini disebabkan pendidikan di negara ini
berkembang dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan dan cabaran, atau
dengan kata lain pendidikan mengalami kristalisasi iaitu ke arah yang lebih
mantap dan cemerlang. Perkembangan sektor pendidikan dilihat penting dan diberi
keutamaan seperti juga sektor-sektor yang lain kerana pendidikan mampu memberi
sumbangan kepada pembangunan, baik kepada pembangunan insan mahupun kepada
pembangunan negara.Pendidikan adalah satu mekanisma penting terhadap
pembangunan insan dan juga pembangunan negara.
Kurikulum dan kokurikulum di sekolah
atau Universiti adalah menjurus ke arah pembinaan insan yang berketrampilan,
seimbang , mencapai tahap profesional yang tinggi bagi menggalas hasrat dan
wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.Pendidikan yang
bermula di peringkat asas sekolah rendah,menengah,seterusnya ke peringkat
Pengajian Tinggi merupakan proses yang berkesinambungan yang mesti dilalui
dengan cemerlang dan berkualiti supaya dapat mengambil manfaat sepenuhnya
daripada sistem pendidikan yang ada ini bagi melahirkan modal insan dan tenaga
manusia yang mempunyai kepakaran. Pendidikan insan yang sempurna merupakan
petunjuk bahawa negara bakal mencapai pembangunan yang mapan.
Pendidikan merupakan suatu proses mendidik insan untuk memperoleh
keilmuan sehingga dapat mengubah tingkah laku seseorang mengikut tingkah laku
dan amalan yang dikehendaki. Pendidikan dapat mengembangkan potensi individu ke
arah membina akhlak, budi pekerti dan keperibadian mulia serta keimanan
manusia.Pendidikan juga dapat membangunkan aspek sosial seseorang iaitu
sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Dengan kata lain pendidikan
adalah berfungsi untuk pembangunan insan dan seterusnya membawa kepada
pembangunan negara. Melalui pendidikan seseorang itu akan membangunkan dirinya
sendiri terlebih dahulu seterusnya membangunkan keluarga, masyarakat dan
negara.
Matlamat ini adalah selari dengan matlamat pendidikan Malaysia yang
digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu; Pendidikan di
Malaysia merupakan usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggung jawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian, kemakmuran keluarga, masyarakat
dan negara.
Sebagaimana yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
dinyatakan di atas, jelaslah bahawa fungsi pendidikan adalah bertujuan untuk
perkembangan secara seimbang dan harmonis unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pendidikan akan membangun insan yang berketrampilan. Dalam usaha mencapai
matlamat ini perkembangan unsur intelek, rohani dan jasmani tidak boleh
dilakukan secara terasing atau terpisah antara satu sama lain. Seharusnya
perkembangan ini perlu berlaku serta bersepadu dengan berpaksikan kepada
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Penekanan yang dilakukan terhadap
mana-mana satu unsur sahaja akan melahirkan individu yang tidak seimbang. FPK
menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara.
Kedua-dua tujuan adalah selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang
berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang
warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk
pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung
merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan
cita-cita negara. Salah satu elemen yang terkandung dalam FPK adalah falsafah
tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama.
Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia
secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara.
Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak
yang mulia yang sekali gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga,
masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik. Satu konsep asas yang
terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam
pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan
yang berperanan bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia
akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan
membentuk diri serta masyarakat manusia.
Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang
menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan merupakan satu proses
dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan
memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman
bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan
mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia. FPK juga melihat individu itu dalam
beberapa lapisan pertalian atau perhubungan.
Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri
individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan
hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat
dan negara.Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan dalam konteks
pendidikan tinggi pula bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau
diploma sahaja tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh
dan seimbang supaya menjadi seorang yang bertanggungjawab. Dalam membangunkan
insan, pembentukan sahsiah adalah antara perkara yang penting. Usaha ini bagi
membetuk generasi masa hadapan dengan sahsiah, keperibadian dan akhlak yang
tinggi. Ketinggian keperibadian dan akhlak yang terbentuk dalam diri setiap
individu pelajar terutamanya remaja akan menjadi teras kepada pembangunan
negara.
Pada usia muda remaja pelajar mudah
terpengaruh dengan hedonism yang boleh membawa kepda aktiviti sosial yang
kurang berfaedah seterusnya membawa ke kancah maksiat seperti mabuk, menagih
dadah, merempit, melacur diri, berfoya-foya dan lain-lain. Gejala tersebut
perlu dibenteras dan langkah-langkah perlu di ambil untuk menanganinya sebelum
ia merebak danmejadi semakin berleluasa. Justeru, pembangunan insan yang
komprehensif melalui pendidikan diharap dapat membendung gejala soosial daripada
terus menular.
Oleh kerana pendidikan akan
melahirkan individu yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi dan
jasmani maka potensi intelek perlu diperkembangkan kerana seseorang perlu
mempunyai kemampuan untuk berfikir secara logik dan rasional, membuat keputusan
yang tepat dan menyelesaikan masalah dalam kehidupanya secara bijaksana.
Pemikiran kreatif dan kritis perlu diperkembangkan secara seimbang. Perkara ini
penting kerana didapati ramai yang boleh bertindak secara kreatif tanpa
memikirkan secara kritis akan kesan-kesannya.
Matlamat Pendidikan
ialah bertujuan melahirkan insan yang sempurna dan memiliki serta menghayati
ciri-ciri berikut :
1. Percaya dan patuh kepada Tuhan
2. Berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia
3. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat,
agama dan Negara
4. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu
5. Memupuk perpaduan
Selain daripada
perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang, adalah diharapkan
juga melalui proses pendidikan, dapat mencapai matlamatnya iaitu :
1. Melahirkan insan yang bertangungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya.
1. Melahirkan insan yang bertangungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya.
2. Menghasilkan
insan yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya
melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap
kemajuan dan pembangunan.
3. Melahirkan insan yang taat setia dan cinta
kepada Negara
4. Melahirkan
insan yang memahami dan bersikap toleransi, demi mewujudkan perpaduan.
Tujuan Pendidikan juga ialah untuk mempergiatkan aktiviti kehidupan
bangsa dan mengembangkan potensi manusia, iaitu manusia yang beriman dan
bertakwa terhadap Tuhan Yang Maha Esa dan berbudi pekerti luhur, memiliki
pengetahuan dan ketrampilan, mempunyai kesihatan jasmani dan rohani, memiliki
keperibadian yang mantap dan mandiri serta memiliki rasa tanggung jawab
kemasyarakatan dan kebangsaan.Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting
dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana melaui sistem pendidikan akan
menentukan hala tuju negara pada masa depan.Malahan proses pendidikan merupakan
kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda jiwa dan
rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang
baik dan sempurna.
Daripada perspektif yang berbeza bidang pendidikan adalah jambatan yang
membawa pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada
pada manusia iaitu modal insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan
progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Contoh yang dapat dilihat ialah
Jepun dan korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya yang
sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat
membantu memajukan diri dan negara mereka standing dengan negara-negara maju
yang lain.Perkembangan pembangunan pendidikan di nagara ini dengan pertambahan
bilangan institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan turut mempercepatkan
proses pembangunan insan kerana rakyat yang terpelajar adalah kunci kepada
pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.
Pendidikan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke
arah meningkatkan aset itu sendiri. Oleh itu modal insan adalah harta
terpenting yang ada pada seseorang yang juga boleh membawa kemajuan kepadanya.
Dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal insan itu
ialah pendidikan dan latihan. Institusi pendidikan seperti sekolah, Universiti,
kelas komputer, pembelajaran kesihatan dan perbincangan-perbincangan mengenai
nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan kualiti
insan itu sendiri. Kekuatan modal insan
bermakna kekuatan tenaga kerja yang melibatkan semua lapisan dan semua sektor
samada peringkat kepimpinan, pengurusan, kakitangan, dan banyak lagi,
menjadikan sesuatu bangsa berkeupayaan dan berkemampuan untuk bersaing dan
sama-sama membina negara maju.
Modal insan ialah suatu punca
kekuatan yang boleh menjana kekuatan negara, trasformasi kebudayaan dan
peningkatan tamadun negara. Modal insan menjadi tulang belakang untuk mencapai
pembangunan. Modal insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci
utama untuk membolehkan negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan.
Merekalah yang akan meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam
mendepani cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda membina dan
memupuk modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung
kepada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru, perancangan pendidikan perlu
dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang
holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia.
Teras pertama Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan iaitu Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum
seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang
membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal
serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai
negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai
serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan
demokrasi. Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik
dalam sstem pendidikan bagi melahirkan warganegara “glokal” yang bertindak
bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan tempatan.
Pembangunan modal insan bertujuan
memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran
tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping
itu, para pelajar akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan
menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir
secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional, mengamalkan
pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi
pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.Bidang pendidikan bukan sahaja
dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda
tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna dan murni untuk memikul amanah
bagi membantu memajukan negara. Modal insan yang mempunyai celik minda dan
nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain mampu
bersaing untuk berjaya.
Pendidikan tinggi memainkan peranan utama dalam mencorakkan insan yang
dikehendaki untuk pembangunan manusia dan negara.Perubahan dan anjakan baru
dalam pendidikan tinggi bertepatan dengan usaha kerajaan mewujudkan modal insan
yang dinamik dengan daya saing yang tinggi bagi menjana kemajuan negara dalam
semua aspek. Pewujudan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam berbagai
bidang kepakaran yang dilengkapi pula dengan kemahiran insaniah dan nilai
kerohanian menjadi tunjang yang kukuh bagi menjayakan sektor ekonomi dan
seterusnya menjana kekayaan negara.
No comments:
Post a Comment